Pilih Islam sebagai pegangan hidup



Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim / Foto : Alishahrin Haji Mumin






TUTONG, Jumaat, 26 Disember. - Seramai 267 orang telah memeluk agama Islam di seluruh negara sejak awal Januari hingga 24 Disember 2025, di mana seramai 70 orang daripadanya adalah dari Daerah Tutong.
 
Sehubungan itu, seorang lelaki Puak Dusun, Danish Adeeka bin Luhazemi berumur 24 tahun, telah memilih agama Islam sebagai pegangan hidup dan melafazkan dua kalimah syahadah pada Majlis Pengislaman yang diadakan pada tadi bertempat di Ruang Legar Masjid Kampung Birau, di sini.
 
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Ugama, Pejabat Hal Ehwal Ugama, Daerah Tutong, Awang Haji Azman bin Haji Musa.

Turut hadir, Ketua Kampung Birau, Luagan Timbaran dan Kebia, Awang Masburah bin Suhaile.
 
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan bacaan Surah Al-Fatihah. Disusuli dengan lafaz dua kalimah syahadah oleh Danish Adeeka yang memilih nama Islamnya sebagai Awang Ahmad Danish Adeeka bin Luhazemi.
 
Majlis diteruskan dengan penyampaian cenderahati dari Pusat Da’wah Islamiah kepada saudara baharu yang diraikan.

Majlis pada pagi itu diserikan lagi dengan persembahan Dikir Marhaban dan menabur bunga rampai sebelum diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.
 
Setiap mualaf akan menjalani kursus bimbingan kendalian Pusat Da’wah Islamiah seperti Kursus Bimbingan Pengenalan selama 10 hari dan Kursus Skim Bimbingan Asas selama 14 hari, kemudian Kursus Bimbingan Lanjut 1 dan 2.

Pengendalian kursus-kursus tersebut adalah bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan asas ugama Islam dan melahirkan para mualaf yang berilmu, beriman dan beramal serta berakhlak mulia.

Close